KUALA LUMPUR – Selepas lapan bulan dilantik menerajui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed melepaskan jawatannya hari ini.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, surat peletakan jawatan beliau telah diserahkan kepada Lembaga Pengarah PNB.

Peletakan jawatan beliau itu dipercayai ada kaitan dengan isu kelayakan akademiknya dalam pelantikan beliau untuk menduduki kerusi nombor satu PNB.

Berdasarkan maklumat profail PNB, Jalil merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam perakaunan dan kewangan dari London School of Economics and Political Science (LSE), United Kingdom.

Bagaimanapun, difahamkan, Jalil disahkan telah mengikuti pengajian sebagai penuntut luar dan lulus pengajian di University of London (UoL) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kelas ketiga kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan pada 1 Ogos 2003.

Dalam sijil tersebut tertera UoL adalah sekutu dengan London School of Economics and Political Science (LSE).

Jalil difahamkan telah dipanggil oleh Suruhanjaya Sekuriti pada 11 Jun lalu berhubung isu ini.

Beliau dilantik menerajui institusi pelaburan terbesar negara pada 1 Oktober lalu, menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Abdul Rahman meninggalkan PNB tanpa dimaklumkan sebarang sebab, selepas peletakan jawatan Tan Sri Abdul Wahid Omar selaku Pengerusi PNB.

Namun, peletakan jawatan Abdul Wahid dan Abdul Rahman itu dipercayai ada kaitan dengan perubahan tampuk pentadbiran negara yang ketika itu dikuasai oleh Pakatan Harapan.

Pelantikan Jalil sebelum ini menjadi tanda tanya kerana beliau tidak dikenali dalam kalangan korporat tempatan.

Namun, Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memaklumkan kepada media pelantikan Jalil dibuat melalui proses yang ketat dan telus.

Setakat berita ini ditulis, PNB masih belum membuat sebarang pengumuman walaupun isu kelayakan akademik Jalil menjadi berita hangat sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun, MalaysiaGazette difahamkan peletakan jawatan oleh Jalil akan dimaklumkan kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera, pemilik PNB sebelum sebarang pengumuman pengesahan dibuat.

Loading...