Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Berita Utama

Caj RM300, bapa tak mampu urus jenazah anak

SHAH ALAM – Seorang bapa hampir gagal menguruskan pengebumian jenazah bayi lelakinya yang dilahirkan tidak cukup bulan di sebuah hospital di Selangor, malam tadi selepas dikenakan caj RM300.

Aktivis Amal Team, Mohd Zulhairi Zainol yang berkongsi kisah sedih itu menerusi laman sosial Facebook miliknya memberitahu, ibu kepada bayi tersebut dipercayai terjatuh di dalam tandas sehingga menyebabkannya keguguran.

Difahamkan, pada hari kejadian kandungan bayi lelaki itu dianggarkan berusia lima bulan.

“Saya menerima panggilan daripada pihak hospital hari ini yang memaklumkan terdapat pasangan suami isteri tidak dapat menyempurnakan pengebumian anak mereka kerana tidak memiliki wang yang cukup.

“Bapa bayi yang bekerja sebagai pembantu warung memberitahu bahawa pihak pengurusan di kawasannya meminta bayaran RM300 untuk pengurusan jenazah. Walhal, ketika itu dia hanya mempunyai wang sebanyak RM150,” katanya.

Justeru, enggan membiarkan kesedihan berterusan menyelubungi pasangan suami isteri berkenaan, Mohd Zulhairi dengan rasa tanggungjawab segera melakukan proses mengurus dan mengebumikan jenazah bayi terbabit di sebuah tanah perkuburan.

“Saya tidak meminta sebarang bayaran kerana memahami situasi mereka. Lagipun stok kain kafan masih ada hasil sumbangan daripada orang ramai sebelum ini.

“Tidak sangka, bayi seperti ini mereka sanggup mengenakan caj RM300 sedangkan, modal saya menguruskan jenazah sebentar tadi hanya RM20,” luahnya.

Sehubungan itu, bagi orang ramai yang ingin membantu dan menyalurkan sumbangan kepada Amal Team, sila layari laman sosial Facebook (Mohd Zulhairi Zainol).

Leave a Reply

Theme by Anders Norén