KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas menegaskan, keputusannya menasihati kerajaan untuk meratifikasi Statut Rom kerana keputusan itu pernah diputuskan oleh Kabinet pada 2011.
Jelasnya, Kabinet sewaktu pentadbiran terdahulu pada 18 Mac 2011 bersetuju dengan Statut Rom namun tidak pernah meratifikasikannya dan apa dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah menyambung keputusan terdahulu.
Tambah Tommy, berdasarkan perspektif perundangannya yang jelas, adalah sukar untuk tidak meratifikasi statut berkenaan, sekali gus menafikan tuduhan dan berita palsu yang dibawa pihak tertentu membabitkan Statut Rom.
“Pengkritik pada hari ini pernah menyokong keputusan yang ada pada hari ini. Bagaimana pihak berkenaan yang membantah Statut Rom menyebarkan berita palsu dan mengelirukan masyarakat dengan menyatakan ia akan mengugat kedudukan Raja-raja Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.
Dalam pada itu, Tommy turut menegaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berpelembagaan yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri terkecuali atas perkara yang terkandung dalam Statut Rom.
“Walaupun Yang di-Pertuan Agong merupakan komander tertinggi angkatan tentera, keputusan untuk memulakan perang adalah sentiasa di bawah kuasa Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Kabinet,” katanya.
Sementara itu, jelas Tommy lagi, kekebalan Raja-raja Melayu sudah terhapus sejak 25 tahun lalu apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1993 dengan penubuhan Mahkamah Khas bagi kesalahan yang dilakukan Raja-raja Melayu.
“Apa yang berbeza adalah rakyat biasa diadili di mahkamah biasa, manakala Raja-raja Melayu diadili di Mahkamah Khas,” katanya.-UTUSAN ONLINE
Leave a Reply