Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

BN guna fitnah, Pakatan Harapan guna fakta, kata Anwar

PAKATAN Harapan berjaya melaksanakan agenda reformasinya sehingga mampu mengheret individu korup ke mahkamah, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata kerajaan baharu PH menggunakan fakta untuk menghukum mereka yang korup, tidak seperti pentadbiran terdahulu Barisan Nasional yang menggunakan fitnah untuk memenjarakan mereka yang menentangnya.

“Jadi keadaan sudah berubah…bezanya kita bukan fitnah, hasut atau dendam tetapi kita siapkan keterangan dan fakta supaya orang yang bertanggungjawab merompak khazanah negara harus dihukum dan ganti balik duit rakyat.

“Ini tak ada tolak ansur. Kalau dulu ramai yang diheret sama ada di mahkamah dipukul atau ditelanjangkan termasuk saya, (Timbalan Presiden PKR Mohamed) Azmin (Ali) dan (Veteran DAP Lim) Kit Siang.

“Ini harus dihentikan. Walau dia tokoh Umno, MIC, MCA kita tak ada niat sama sekali nak beri tekanan melainkan mereka yang melakukan jenayah dan rasuah kita hadapkan ke mahkamah,” katanya kepada lebih 1,000 rakyat yang hadir di majlis sambutan ulang tahun ke-20 PKR di Dataran Rantau, Negeri Sembilan malam tadi.

Anwar berkata, beliau dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkongsi pandangan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur kepada sesiapa sahaja yang merompak kekayaan negara.

“Ramai orang fikir saya dan Dr Mahathir Mohamad berbeza pendapat tentang ini. Tidak ada perbezaan pendapat. Kami percaya yang negara perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.”

Beliau juga berjanji yang PH tidak akan menghukum pemimpin pembangkang tanpa bukti, seperti yang dilakukan BN.

“Amalan itu perlu dihentikan. PH tidak ada niat untuk memenjarakan atau memberi tekanan kepada pemimpin Umno, MCA dan MIC kecuali mereka terlibat dalam jenayah, seperti korupsi.”

Katanya lagi, beliau yakin PKR dan semua parti pakatan pemerintah akan mampu menentang pembangkang berdasarkan fakta.

Turut hadir malam tadi ialah Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Azmin, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syed Husin Ali.

Azmin juga mendesak semua ahli parti bekerjasama untuk mencapai kejayaan, dan ia boleh dibuktikan dengan kejayaan dalam PRK Rantau.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH daripada PKR Dr S Streram, Mohamad Hasan (BN), dan calon Bebas R Malarvizhi dan Mohd Nor Yasin.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén