Bukan sekadar blog

Berita Utama

‘Biarlah ayah pergi dengan tenang’ – Bilal Masjid Al Hasanah meninggal dunia

“Air mata ayah mengalir sebaik emak, Habsah Mustafa, 50-an meminta halalkan makan minum sebaik keadaan ayah tenat kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Ayah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 4 petang tadi selepas organ dalamannya tidak berfungsi,” kata Shahrizal Amri, 40.

Shahrizal adalah anak sulung bilal Masjid Al Hasanah, Taman Rakyat, Mergong, Amri Budin, 66, yang meninggal dunia selepas 22 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas disimbah petrol dan dibakar, bulan lalu.

Menurut Shahrizal, selepas bapanya menjalani pembedahan mengambil isi paha bagi menggantikan bahagian kulit melecur di bahagian kiri badannya, arwah koma dan tidak sedarkan diri hingga pagi tadi.

Doktor memaklumkan keadaan bapanya makin tenat dan minta anak-anaknya berkumpul untuk melihat keadaannya buat kali terakhir.

“Kami reda dengan pemergiannya walaupun doktor meminta kebenaran keluarga untuk melakukan pembedahan bagi membuang cecair dalam peparu tetapi kami tak benarkan.

“Biarlah ayah pergi dengan tenang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, HSB, Alor Setar.

Shahrizal berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 40-an yang ditahan polis pada hari kejadian.

“Jenazah ayah akan dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Terus malam ini,” katanya.

Dalam kejadian 19 Februari lalu, Amri Budin dikatakan tiba di perkarangan Masjid Al Hasanah pada jam 5.50 pagi untuk menunaikan solat Subuh.

Bagaimanapun, suspek yang menunggang motosikal di kawasan itu seorang diri dikatakan menyimbah petrol dan membakar mangsa di tempat kejadian menyebabkan mangsa rebah.

Loading...

Leave a Reply