Bukan sekadar blog

Berita Utama

Big Bird Sesame Street meninggal dunia akibat gangguan saraf

WASHINGTON – Pelakon boneka Caroll Spinney yang menghidupkan watak Big Bird dan Oscar the Grouch menerusi rancangan televisyen kanak-kanak popular Sesame Street meninggal dunia pada usia 85 tahun semalam.

Menurut Sesame Workshop, organisasi bukan berdasarkan keuntungan yang menerbitkan rancangan ikonik selama separuh abad itu, Spinney meninggal dunia di kediamannya di Connecticut setelah sekian lama menghidap gangguan saraf ‘dystonia’ yang menyebabkan pergerakan otot sukar dikawal.

Spinney bersara daripada rancangan Sesame Street tahun lalu selepas memilih sendiri pengganti untuk watak Big Bird, seekor burung besar berwarna kuning dan Oscar, seekor raksasa hijau pemarah yang tinggal di dalam tong sampah.

Kedua-dua watak berkenaan hidup dalam dunia magik hasil ciptaan pereka Jim Henson bersama pelbagai karakter lain termasuk Bert and Ernie, Cookie Monster dan Kermit the Frog.

“Caroll seorang artis genius yang membantu membentuk Sesame Street sejak permulaannya pada tahun 1969 dan berterusan sehingga lima dekad.

“Bakat besar dan kebaikan hatinya amat sesuai bagi memainkan watak burung besar kuning itu yang membawa kegembiraan kepada kanak-kanak dan peminat pelbagai lapisan usia di seluruh dunia,” kata Sesame Workshop dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sesame Street yang meraikan ulang tahun ke-50 menerima salah satu anugerah budaya tertinggi Amerika Syarikat, Kennedy Center Honors dalam sebuah majlis di Washington semalam. – AFP

Loading...

Leave a Reply