Bukan sekadar blog

Berita Utama

Berat dugaan mu sayang

MARANG – Siapa sangka di sebalik senyuman manis yang dilemparkan, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Simpang Rawai Bukit Payung ini menderita sakit kulit sejak dilahirkan.

Keadaan fizikal Nur Fatihah Hadfina Abdul Qayyum, 9, sama seperti budak seusianya namun hakikatnya dia menanggung kesakitan kerana penyakit Klippel-Trenaunay syndrome (KTS) atau masalah saluran darah dialaminya.

Akibat penyakit itu, bahagian pinggang hingga ke kaki kanan Nur Fatihah Hadfina atau lebih mesra dipanggil Fatihah seakan-akan menggerutu, lebam dan kemerahan-merahan sementara kaki kirinya pula akan mengalami lebam sekiranya diserang penyakit itu.

Lebih menyakitkan apabila kupingan berwarna merah itu pecah dan mengeluarkan darah sehingga pernah menyebabkan badan Fatihah kebiruan kerana kehilangan darah yang banyak.

Ibunya, Hassikin Aziz, 30, berkata, doktor pada awalnya menyangka kesan kemerahan dialami anaknya sebagai tanda lahir.

“Namun, ketika Fatihah berusia tiga bulan, doktor mengesahkan ia bukan tanda lahir sebaliknya disebabkan masalah saluran darah.

“Luluh hati saya apabila dimaklumkan mengenai penyakit itu yang dianggap jarang berlaku apabila hanya seorang daripada 1,000 orang akan menghidap penyakit itu.

“Ibu mana yang sanggup melihat anak menanggung derita seperti itu kerana Fatihah masih kecil dan sejak itu, kami berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Padang Limau Nipis, Bukit Payung, di sini, semalam.

Ketika ini, katanya, tiada lagi cara untuk mengubati penyakit Fatihah selain hanya mendapatkan rawatan laser di HKL dan ubat diberikan pihak hospital.

“Rawatan laser itu untuk mematikan sel darah, walaupun ia tidak memulihkan Fatihah sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya rawatan itu mengurangkan kesakitan dan pendarahan.

“Setakat ini, sudah 15 kali Fatihah menjalani rawatan laser dan biasanya kami akan duduk di HKL dalam tempoh seminggu bergantung kepada kesihatan Fatihah selepas rawatan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply