SEORANG guru tahfiz ditahan selepas disyaki melakukan seks oral terhadap pelajar lelaki di sebuah sebuah sekolah tahfiz di Taman Keramat Permai, Hulu Kelang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mangsa berusia 14 tahun itu membuat laporan polis yang mendakwa guru terbabit berusia 21 tahun melakukan seks oral terhadapnya sejak Mei lalu.

“Kejadian itu berlaku sejak Mei lalu di sekolah tahfiz berkenaan. Guru terbabit meminta untuk melakukan seks oral terhadap mangsa, namun ditolak pelajar berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian membenarkan guru berkenaan melakukan seks oral terhadapnya secara rela kerana tidak mahu suspek berkecil hati.

“Perbuatan itu sudah berlaku lima kali sejak Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah berkata, mangsa menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya di Johor apabila pulang ke kampung pada 26 Jun lalu.

“Mangsa memaklumkan dia takut kembali ke sekolah tahfiz berkenaan berikutan kejadian itu.

“Suspek ditahan di sekitar daerah ini dan akan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Julai nanti bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

– harian metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here