Bukan sekadar blog

Berita Utama

Bebaskan banduan penjara, elak penularan Covid-19, kata Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mencadangkan kerajaan agar mengambil langkah pencegahan awal dengan membebaskan banduan penjara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menurut Kit Siang, langkah itu selari dengan pendekatan yang diambil oleh beberapa negara lain seperti Britain, India dan Indonesia.

“Kerajaan Malaysia sepatutnya melakukan perkara yang sama bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 ekoran kesesakan banduan di penjara dengan memberikan pembebasan awal.

“Terutamanya kepada pesalah yang sudah tua, banduan yang akan dibebaskan dalam sebulan, banduan yang didakwa atas jenayah kecil dan bukan atas kesalahan kekerasan, pesalah yang mempunyai faktor kesihatan dan berisiko untuk dijangkiti virus Covid-19 serta penjenayah yang tidak terlibat dengan kesalahan keganasan,” katanya, memetik kenyataan media yang dikeluarkan melalui laman blog beliau sebentar tadi.

Melalui kenyataan yang sama, Kit Siang turut memberikan perincian data berhubung pendekatan yang di ambil oleh negara-negara tersebut.

Kit Siang berkata demikian sebagai maklumbalas terhadap surat Ketua Pengarah Penjara, Zulkifli Omar kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Media sebelum ini melaporkan gesaan Zulkifli agar mahkamah tidak lagi menghantar individu yang didapati bersalah melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) ke penjara.

Katanya, amalan jarak sosial tidak dapat dikuatkuasakan dan ini boleh memberi ancaman kepada banduan sedia ada dan kakitangan penjara. – SuaraTV

Loading...

Leave a Reply