Bukan sekadar blog

Berita Utama

Bangun seawal 4 pagi, remaja 14 tahun pikul tugas urus ibu bapa uzur, dua adik

SUNGAI PETANI – Ketika rakan lain sibuk membuat persiapan kembali ke sekolah Rabu ini, seorang remaja tabah memikul tugas mengurus keluarga termasuk ibu bapanya yang berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Nurul Najatul Aisyah Zakaria, 14, menjaga bapanya, Zakaria Rahim, 46, dan ibu, Zulaina Kassan, 38, serta dua adiknya, Muhammad Nabil Abid, 11, dan Muhammad Najib Adib, 8, sejak berusia 10 tahun.

Katanya, bapanya mengalami masalah lemah seluruh badan disebabkan penyakit saraf selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 1998, manakala ibunya lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat demam panas.

“Sebelum ini, abah yang menguruskan kami dalam keadaan berkerusi roda, namun kesihatan abah semakin merosot beberapa tahun lalu, maka saya ambil alih tugas di rumah.

“Selain memasak, saya uruskan abah dan emak selain memastikan adik belajar dan ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Flat Paya Nahu, di sini.

Loading...

Najatul yang bakal memasuki Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria, bangun seawal jam 4 pagi bagi menyediakan sarapan sebelum ke sekolah.

Menjadi rutin harian bagi remaja itu menguruskan keperluan kedua-dua ibu bapanya hingga ada kalanya terlewat tiba di sekolah.

“Cikgu semua maklum dengan keadaan keluarga kami. Nak masuk sekolah tahun depan, saya dan adik-adik tak buat apa-apa persiapan, cuma guna kelengkapan lama,” katanya.

Sementara itu, Zakaria bersyukur mempunyai anak yang membantu menguruskan keluarga dalam keadaan sedia ada.

Apa yang membuatkan terkilan ialah tidak lagi mampu mengambil upah membaiki barangan elektrik, sekali gus menyebabkan keluarga hilang punca pendapatan.

“Ketika ini kami bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan dan sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyara keluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zakaria di talian 012-2762443.

Loading...

Leave a Reply