Bukan sekadar blog

Berita Utama

Ayam Payang Dalam Kenangan, ingatan buat arwah Man Soya

KUALA TERENGGANU – Perniagaan ‘Ayam Payang Dalam Kenangan’ diusahakan beberapa anak muda di Bazar Ramadan Batu Buruk, di sini, bukan semata-mata untuk tujuan kewangan, tetapi juga menyimpan simbolik dan kenangan tersendiri.

Pemergian Mohd Lukman Riduan ke rahmatullah dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya memberi inspirasi buat Mohd Shaharudin Shafie, 26, dan beberapa rakannya menamakan perniagaan mereka sedemikan rupa.

Malah lebih manis lagi, sebahagian hasil keuntungan daripada perniagaan itu disalurkan kepada keluarga Allahyarham Mohd Lukman dan anak yatim terpilih dengan niat pahalanya sentiasa mengalir buat rakan baiknya itu.

Ternyata, nilai persahabatan yang ditonjolkan tidak pernah pudar, walaupun rakan yang selama ini turut menjadi tulang belakang dalam setiap perkara dilakukan sudah meninggal dunia.

“Arwah yang juga dikenali sebagai Man Soya adalah antara sahabat yang banyak memberi dorongan dan idea kepada kami dalam perniagaan Ayam Payang (ayam tempayan) yang sudah dimulakan sejak tujuh tahun lalu.

“Apabila arwah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu, kami dicampakkan ilham mengubah nama kepada Ayam Payang Dalam Kenangan sebagai tanda kenangan bersamanya.

“Malah sebahagian hasil keuntungan daripada perniagaan ini akan kami salurkan kepada keluarga arwah dan juga rumah anak yatim terpilih,” katanya ketika ditemui di Tapak Bazar Ramadan Batu Buruk, di sini.

Mohd Shaharudin berkata, beliau bersyukur kerana perusahaan Ayam Payang Dalam Kenangan Bazar Ramadan Batu Buruk itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada pengunjung.

Katanya, sebelum ini mereka berniaga di tujuh lokasi berbeza setiap tahun, tetapi untuk tahun ini hanya fokus di Bazar Ramadan Batu Burok dengan menyewa enam lot tapak.

Katanya lagi, tahun ini mereka menambah tiga tempayan lebih besar menjadikan kesemuanya 15 tempayan digunakan.

“Bagi memperkenalkan keaslian tersendiri, saya sendiri pergi ke Hatyai, Thailand untuk berjumpa dengan tukang masak di sana bagi mendapatkan rempah terbaik sebagai perapan kepada ayam.

“Malah tempayan baharu yang digunakan itu mampu memuatkan 25 ekor ayam dalam satu-satu masa dan dapat dimasak dengan lebih cepat iaitu kira-kira satu jam berbanding sebelum ini tiga jam.

“Pelanggan yang datang juga berpuas hati dengan kesedapannya dan setiap hari kami memperuntukkan 150 ekor hingga 250 ekor ayam yang dijual pada harga RM24 seekor,” katanya.

Loading...

Leave a Reply