Bukan sekadar blog

Berita Utama

Arnab panggang jadi tumpuan di Setiu

SETIU – Apa yang bermula sebagai juadah berbuka puasa akhirnya menjadi rezeki tambahan seorang peniaga di Bazar Ramadan Kampung Guntung, Permaisuri, di sini.

Mohd Ebbie Shafiran Zahari, 27, berkata semuanya bermula selepas beliau memuat naik gambar daging arnab panggang untuk juadah keluarga dan melihat maklum balas masyarakat.

Juru teknologi makmal Klinik Kuala Besut itu berkata, menu berkenaan asalnya tidak ada di gerai milik ibunya yang menjual ayam panggang, nasi berlauk ayam panggang dan kuih-muih.

“Saya memanggang tiga ekor arnab untuk juadah berbuka minggu lalu.

“Ketika mengeluarkan arnab panggang dari ketuhar, ada pelanggan ternampak dan dan berminat mendapatkannya.

“Esoknya, kami panggang empat ekor arnab untuk diagih kepada kenalan,” katanya yang ditemui di Bazar Ramadan Kampung Guntung di sini, hari ini.

Mohd Ebbie mula menjual lima ekor arnab panggang Rabu lalu dan 10 ekor hari ini.

“Selepas gambar dimuat naik di Facebook dan viral di media sosial, saya menerima tempahan kira-kira 30 ekor.

“Selain penduduk setempat, ada juga pelanggan dari Johor dan Pahang membuat tempahan tetapi kami terpaksa menolak kerana sukar menghantarnya,” katanya.

Mohd Ebbie berkata, arnab panggang dimasak dalam ketuhar besar yang mampu memuatkan kira-kira 16 ekor arnab pada satu masa.

“Tempoh memanggang antara satu setengah hingga dua jam. Biasanya kami mula memanggang selepas Zuhur,” katanya.

Ibunya, Maziah Mat, 48, berniaga di bazar Ramadan sejak 15 tahun lalu dan ini kali pertama mereka menjual arnab panggang.

“Sejak 10 tahun lalu, arnab panggang menjadi hidangan utama keluarga pada musim perayaan menggunakan resipi sendiri,” katanya.

Loading...

Leave a Reply