Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Anwar janji bela nasib rakyat bila jadi PM

TANAH MERAH – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kos sara hidup yang menghimpit rakyat apabila dilantik Perdana Menteri kelapan.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi rakyat menjadi keutamaannya selain meneruskan agenda pembangunan dan dasar negara ketika ini.

“Kita ada perjanjian, biar Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 93 tahun memerintah negara dengan menyelesaikan pelbagai masalah terutama hutang negara, Tabung Haji (TH) serta kes FELDA.

“Tambahan pula, Dr Mahathir mempunyai banyak pengalaman ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini, selain ada hubungan baik dengan negara lain.

“Apabila tiba masanya, giliran saya pula (jadi Perdana Menteri) yang akan teruskan usaha kerajaan dan membela nasib rakyat. Saya tidak akan ubah dasar, kecuali mungkin mengubah gaya,” katanya ketika berucap pada Bicara Perdana di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa dan Pengerusi PKR Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, walaupun PH sering menerima tohmahan dan kritikan, namun perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan agama akan terus dipelihara.

“Kerajaan PH akan sentiasa berusaha dengan sedaya upaya bagi memulihkan negara yang sebelum ini pernah dirosakkan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Berikutan itu, katanya, penyokong PAS perlu memikirkan adakah kerjasama dengan UMNO dapat membawa negara ke arah yang lebih baik.

“Saya cukup hairan bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan UMNO yang selama ini cukup benci dengan parti itu. UMNO banyak merosakkan negara dengan masalah rasuah, sehingga meninggalkan masalah itu kepada kerajaan sekarang ini,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén