Bukan sekadar blog

Politik

Akhiri gelaran Malaysia kleptokrasi global pencapaian terbesar PH

SANDAKAN – Pencapaian terbesar kerajaan Pakatan Harapan (PH) setelah genap setahun mentadbir negara dapat dilihat apabila berjaya mengakhiri gelaran yang mengaibkan iaitu Malaysia kleptokrasi global di samping usaha yang berterusan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berintegriti, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sebelum ini malu untuk memperkenalkan diri sebagai warga Malaysia apabila ke luar negara susulan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), aib kerana Malaysia dilabel sebagai kleptokrasi global dan mempunyai Perdana Menteri ketika itu yang dikenali di seluruh dunia sebagai pencuri.

“Saya sendiri kecewa apabila Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018 yang diumumkan oleh badan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI) pada akhir Januari tahun ini bahawa Malaysia naik satu tangga ke atas kepada kedudukan 61 daripada 180 negara, mengekalkan skor 47 mata (daripada 100) dalam indeks rasuah sama seperti pada tahun sebelumnya, walaupun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa tokoh terkenal termasuk bekas menteri Kabinet didakwa atas tuduhan rasuah tahun lepas.

Ia satu peringatan bahawa satu tindakan yang baik tidak bererti semua yang lain juga akan mendapat tempias positif iaitu pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas menteri Kabinet, bagaimana menonjol pun sesuatu perkara itu, tidak akan mudah mengubah Malaysia daripada sebuah kleptorasi global kepada contoh cemerlang sebuah negara berintegriti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Loading...

Lim berkata kerajaan menyuntik RM6.3 bilion untuk memulihkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan RM17.8 bilion bagi Lembaga Tabung Haji, bertujuan untuk mengubah Malaysia daripada kleptorasi global menjadi sebuah negara yang berintegriti, yang sedang dilaksanakan.

“Meskipun saya menjangkakan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) tahun hadapan akan menunjukkan peningkatan yang besar bagi ranking dan skor,” katanya dan mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak menganggap perang terhadap rasuah sebagai ‘matlamat tercapai’.

Lim juga mempersoalkan mengapa Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, bekas menteri Kabinet yang berkhidmat di bawah pentadbiran Najib, tidak pernah mengutuk skandal IMDB atau melahirkan perasaan kesal kerana membawa Malaysia ke arah kleptokrasi global.

“Jika Ongkili tidak bersedia untuk mempertaruhkan kedudukan Kabinetnya untuk bercakap tentang skandal IMDB, yang menghina dan mengaibkan Malaysia selepas dikecam di seluruh dunia sebagai kleptokrasi global, apa yang boleh diharapkan oleh rakyat Sabah dan Malaysia, jika PBS mampu kembali menguasai politik melalui pilihan raya kecil Sandakan?

“Adakah PBS akan mengutuk skandal 2MDB, 3MDB atau 4MDB jika kembali memerintah pada masa hadapan?”, soal beliau.

Sempena ulang tahun kejayaan PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada 9 Mei lepas, Lim berkata PH hendaklah mengekalkan kebenaran dan komited kepada objektif utama manifesto PRU untuk mengurangkan beban kos sara hidup, mencapai pembaharuan institusi, pertumbuhan ekonomi jurutera, mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak serta membina Malaysia yang inklusif, sederhana dan gemilang. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply