Ku Lihat Langit Biru

Bukan sekadar blog

Politik

Ahli Parlimen PAS digantung dua hari selepas label Guan Eng ‘pondan’

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat PAS dan Barisan Nasional (BN) hari ini keluar Dewan sebagai membantah keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon menghalau seorang wakil rakyat PAS dari Dewan.

Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) dihalau selepas enggan mematuhi arahan Rashid supaya menarik balik perkataan ‘pondan’ ditujukan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tindakan itu diambil selepas Ahmad Marzuk berdegil untuk tidak menarik balik perkataan ‘pondan’ walaupun sudah diberi amaran tiga kali, sebaliknya berterusan mendesak Guan Eng menjelaskan isu tender terbuka yang diberikan kepada semua kaum yang didakwa menjejaskan kontraktor Bumiputera.

Pada awalnya, beliau berkata: “Saya minta menteri jadi anak jantan, bukan pondan macam Bagan (Guan Eng).”

Bagaimanapun selepas didesak beberapa kali oleh Rashid dan penyokong kerajaan, Ahmad Marzuk berkata: “Saya tak sebut pondan, saya cakap macam pondan.”

Perkataan itu dibangkitkan ketika Guan Eng menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Keputusan Rashid menghalau Ahmad Marzuk dibuat selepas Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(4) supaya menarik balik perkataan ‘pondan’.

Rashid kemudiannya menjelaskan Ahmad Marzuk digantung daripada menghadiri sidang Dewan selama dua hari bermula hari ini mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2) sebelum menangguhkan mesyuarat.

“Ada orang bertanya berapa hari Pengkalan Chepa digantung, jika saya tidak jelaskan, maka mengikut Peraturan Mesyuarat 44(2) secara automatik dia digantung dua hari bermula hari ini daripada menghadiri sidang Dewan,” katanya

Terdahulu, Guan Eng ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 untuk bacaan kali kedua, berkata perbelanjaan tambahan RM19.6 bilion tidak akan menjejaskan sasaran defisit fiskal 3.7 peratus yang ditetapkan kerajaan bagi tahun 2018.

“Dengan sukacitanya, saya memaklumkan Dewan yang Mulia bahawa sasaran fiskal 3.7 peratus telah pun berjaya dicapai,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM15.49 bilion daripada jumlah perbelanjaan tambahan itu adalah bagi perbelanjaan pembangunan manakala RM4.13 bilion lagi adalah untuk perbelanjaan mengurus.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén