Bukan sekadar blog

Berita Utama

11 individu berjogging di Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara ditahan

SERAMAI 11 lelaki termasuk sembilan warga asing yang berjoging di Mont Kiara dan Desa Kiara di Kuala Lumpur, ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua ditahan dalam rondaan dan pemeriksaan penguatkuasaan PKP yang dilakukan di dua lokasi berkenaan bermula 7.30 hingga 9.30 pagi.

Menurutnya, mereka yang ditahan membabitkan dua lelaki tempatan, warga Jepun (4), Korea (2) dan masing-masing seorang United Kingdom, Amerika Syarikat dan India.

“Kesemua ditahan ketika sedang jogging dan didapati mengingkari PKP. Mereka juga tidak mengendahkan amaran dan nasihat diberikan polis serta memberikan alasan tidak munasabah.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mazlan berkata, polis sudah merakam keterangan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah dan diberi jamin polis sebaik selesai proses siasatan.

Katanya, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berharap orang ramai memberikan kerjasama dengan mematuhi PKP demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Loading...

Leave a Reply